Menurut kamus Dewan edisi Empat, ’baca’
ditakrifkan sebagai memerhatikan isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan
teliti dan memahamkan makna kandungannya. Robert Lado (1964) menyatakan membaca
sebagai mengungkap pola-pola bahasa daripada bentuk tulisannya manakala
Steinberg (1982) mendefinisikan proses membaca sebagai satu bentuk komunikasi
dan tujuannya adalah memberikan maklumat melalui bentuk-bentuk bertulis. Menurut Zulkifley Hamid (1994) pula,
beliau menyatakan membaca sebagai proses pembaca mengenal lambang-lambang
tulisan,menterjemahkannya kepada bentuk bunyi yang dilambangkan dan mendapatkan
makna bagi bentuk tulisan tesebut.
Marohaini Yusoff
(1989) pula telah merumuskan proses membaca sebagai perlakuan yang kompleks dan tidak dapat diperhatikan. Terdapat dua
komponen kemahiran utama yang dipersetujui wujud dalam kemahiran membaca iaitu
kemahiran mengenal atau mengecam perkataan dan kemahiran memahami apa yang
dibaca. Beliau telah merumuskan proses membaca seperti berikut:
- Perlakuan membaca adalah perlakuan yang kompleks dan tidak dapat diperhatikan. Cuma dua komponen kemahiran utama yang dipersetujui wujud dalam kemahiran membaca iaitu kemahiran mengenal atau mengecam perkataan dan kemahiran memahami apa yang dibaca.
- Sesuatu perlakuan membaca mesti dapat menghasilkan pemahaman selain pengecaman dan penyebutan perkataan-perkataan. Maksudnya, untuk menjadi pembaca yang berkesan, seseorang itu tidak perlu dapat menyebut perkataan dengan betul dan lancar asalkan dia tahu makna perkataan-perkataan yang dibacanya.
- Semasa membaca, seseorang itu perlu berfikir, merasai, dan membayangkan apa yang dibaca. Seseorang murid itu mempunyai tujuan, jangkaan, pengetahuan, dan pengalaman lalu yang akan mempengaruhi apa yang akan dibacanya. Dalam sesuatu proses bacaan, terdapat susun atur tugasan seperti berikut:
a)
mengecam
atau mengenal lambang atau perkataan yang dilihat.
b)
mengaitkan
lambang atau perkataan dengan bunyi atau makna.
c)
menterjemahkan
makna perkataan itu dengan mengaitkannya dengan apa yang sedia ada di kepala.
d)
mengumpul
dan mencantumkan idea, perkataan, dan ayat sehingga menjadi sebuah idea yang
lengkap.
e)
mencuba
menghuraikan idea kepada orang lain.
4. Melihat
kepada susun tugas dalam proses membaca, dapatlah dikatakan bahawa membaca
adalah satu proses yang memerlukan pemikiran yang aktif.
Mengikut
Solâh (1981) dan Abdul Aziz (1993) kefahaman dalam bidang bahasa dikaitkan
dengan dua kemahiran berbahasa sahaja iaitu mendengar dan membaca. Ini adalah
berdasarkan kepada kepekaan pendengar dan pembaca iaitu ketika melakukan
aktiviti mendengar dan membaca, masing-masing menggunakan deria pendengaran dan
deria penglihatan untuk memahami apa yang didengar dan apa yang dibaca. Oleh
itu,kemahiran mendengar dan kemahiran membaca mempunyai persamaan dari aspek
kefahaman bahasa.
Kesimpulannya, membaca adalah satu
proses yang kompleks yang mana sesuatu isi atau maklumat yang bermakna
disampaikan melalui lambang-lambang bertulis. Hal ini kerana proses membaca terdiri
daripada gabungan beberapa proses yang
kompleks, iaitu proses sensori, proses pengamatan, proses bahasa, dan proses
kognitif. Setiap proses memainkan peranan penting dalam proses membaca secara
keseluruhan.
No comments:
Post a Comment