Saturday 8 October 2011

DEFINISI DAN KONSEP MEMBACA



   Menurut kamus Dewan edisi Empat, ’baca’ ditakrifkan sebagai memerhatikan isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya. Robert Lado (1964) menyatakan membaca sebagai mengungkap pola-pola bahasa daripada bentuk tulisannya manakala Steinberg (1982) mendefinisikan proses membaca sebagai satu bentuk komunikasi dan tujuannya adalah memberikan maklumat melalui bentuk-bentuk bertulis. Menurut Zulkifley Hamid (1994) pula, beliau menyatakan membaca sebagai proses pembaca mengenal lambang-lambang tulisan,menterjemahkannya kepada bentuk bunyi yang dilambangkan dan mendapatkan makna bagi bentuk tulisan tesebut. 
   Marohaini Yusoff (1989) pula telah merumuskan proses membaca sebagai perlakuan yang kompleks dan tidak dapat diperhatikan. Terdapat dua komponen kemahiran utama yang dipersetujui wujud dalam kemahiran membaca iaitu kemahiran mengenal atau mengecam perkataan dan kemahiran memahami apa yang dibaca. Beliau telah merumuskan proses membaca seperti berikut:  
  1. Perlakuan membaca adalah perlakuan yang kompleks dan tidak dapat diperhatikan. Cuma dua komponen kemahiran utama yang dipersetujui wujud dalam kemahiran membaca iaitu kemahiran mengenal atau mengecam perkataan dan kemahiran memahami apa yang dibaca. 
  2. Sesuatu perlakuan membaca mesti dapat menghasilkan pemahaman selain pengecaman dan penyebutan perkataan-perkataan. Maksudnya, untuk menjadi pembaca yang berkesan, seseorang itu tidak perlu dapat menyebut perkataan dengan betul dan lancar asalkan dia tahu makna perkataan-perkataan yang dibacanya. 
  3. Semasa membaca, seseorang itu perlu berfikir, merasai, dan membayangkan apa yang dibaca. Seseorang murid itu mempunyai tujuan, jangkaan, pengetahuan, dan pengalaman lalu yang akan mempengaruhi apa yang akan dibacanya. Dalam sesuatu proses bacaan, terdapat susun atur tugasan seperti berikut:
a)    mengecam atau mengenal lambang atau perkataan yang dilihat.
b)    mengaitkan lambang atau perkataan dengan bunyi atau makna.
c)    menterjemahkan makna perkataan itu dengan mengaitkannya dengan apa yang sedia ada di kepala.
d)    mengumpul dan mencantumkan idea, perkataan, dan ayat sehingga menjadi sebuah idea yang lengkap.
e)    mencuba menghuraikan idea kepada orang lain.

         4. Melihat kepada susun tugas dalam proses membaca, dapatlah dikatakan bahawa membaca adalah satu proses yang memerlukan pemikiran yang aktif.

Mengikut Solâh (1981) dan Abdul Aziz (1993) kefahaman dalam bidang bahasa dikaitkan dengan dua kemahiran berbahasa sahaja iaitu mendengar dan membaca. Ini adalah berdasarkan kepada kepekaan pendengar dan pembaca iaitu ketika melakukan aktiviti mendengar dan membaca, masing-masing menggunakan deria pendengaran dan deria penglihatan untuk memahami apa yang didengar dan apa yang dibaca. Oleh itu,kemahiran mendengar dan kemahiran membaca mempunyai persamaan dari aspek kefahaman bahasa.
Kesimpulannya, membaca adalah satu proses yang kompleks yang mana sesuatu isi atau maklumat yang bermakna disampaikan melalui lambang-lambang bertulis. Hal ini kerana proses membaca terdiri daripada gabungan beberapa proses yang kompleks, iaitu proses sensori, proses pengamatan, proses bahasa, dan proses kognitif. Setiap proses memainkan peranan penting dalam proses membaca secara keseluruhan.

                   

No comments:

Post a Comment