Permainan Gasing
Permainan gasing adalah permaian yang popular di Semenanjung Malaysia. Ia bukan sahaja boleh dimainkan oleh kanak-kanak malahan orang dewasa juga gemar bermain gasing. |
Jenis-jenis Gasing
Jenis gasing yang terdapat di Malaysia termasuk gasing jantung,
gasing piring atau leper, gasing kelamar, gasing telur, gasing
berembang, gasing Melayu, gasing Cina, gasing buku benang dan gasing
pinang.
Membuat Gasing
Kayu yang paling sesuai dari spesis merbau, seperti merbau tanduk,
merbau darah, merbau johol dan merbau keradah, ianya mudah dilarik
tetapi tidak mudah serpih. Selain itu kayu leban tanduk, limau, bakau,
koran, sepan, penaga, keranji juga menjadi pilihan. Jenis kayu yang
mudah didapati seperti manggis, jambu batu, ciku atau asam jawa sering
digunakan untuk membuat gasing.Kayu tersebut dilarik menggunakan alat pelarik, mengikut saiz dan
bentuk gasing yang telah ditetapkan. Sebelum kerja melarik dimulakan
besi paksi dibenamkan ke dalam kayu tersebut agar keseimbangan dari segi
bulatnya dapat dilakukan ketika melarik. Setelah gasing disiapkan maka kerja-kerja terakhir dilakukan, seperti
melilitkan timah pada kepak gasing tadi agar menambah berat lagi gasing
itu hingga seberat lima kilogram dan juga tak mudah serpih. Untuk
menambah indah rupa parasnya maka tanduk kerbau dipasangkan dibahagian
kepala gasing serta dikilatkan dengan varnis. Ini terdapat pada gasing
leper atau untuk gasing uri sahaja.
Cara Bermain
Gasing dimainkan dengan dua cara, iaitu sebagai gasing pangkah atau
gasing uri. Gasing pangkah, dimainkan dengan melemparkannya supaya
mengetuk gasing lawan. Gasing uri dipertandingkan untuk menguji
ketahanannya berpusing.
Gasing pinang dimainkan oleh kanak-kanak. Buah pinang muda dikupaskan
sabut dan kulitnya, dipangkaskan bahagian atas dan bahagian bawahnya,
kemudian dicucukkan lidi buluh melalui pulurnya menjadi paksi serta
pemegang gasing itu. Gasing ini boleh dilagakan atau diurikan.Untuk memusingkan gasing, tali setebal 1.75 cm dan sepanjang 3 hingga
5 meter dililitkan pada jambulnya hingga meliputi seluruh permukaan
gasing. Kemudian gasing itu dilemparkan ke atas tanah dan serentak
dengan itu tali yang melilit jambuhnya direnggut.
Pertandingan Gasing
Pertandingan gasing uri berbeza dengan gasing pangkah. Gasing uri
lebih bersifat individual, manakala gasing pangkah bersifat kumpulan.